Korea Selatan akhirnya memasang sistem pertahanan udara bernama ‘Terminal High Altitude Area Defense’ (THAAD) yang bertujuan untuk menangkis peluru berpandu Korea Utara. China membantah pemasangan THAAD, sebabnya ia juga akan melemahkan keberkesanan peluru berpandu China. Sebagai balasan, China menyekat barangan dari Korea Selatan, terutamanya dari kumpulan syarikat Lotte (pemilik Pepero) yang memberi tanah kepada kerajaan Korea Selatan untuk memasang THAAD.
Korea Selatan telah memberi masa 4 tahun kepada China untuk mengelak situasi ini. Park Geun-hye yang menjadi presiden pada tahun 2013 mengamalkan dasar pro-China dan menjauhi diri dari Amerika. Selain beliau tidak suka Amerika (CIA terlibat dalam pembunuhan ayahnya Park Chung-hee), tindakannya juga bertujuan merapatkan hubungan China dan Korea Selatan, dengan itu berharap agar China dapat memberi tekanan kepada Korea Utara supaya memberhentikan program senjata nuklear. Ia baik untuk Korea Selatan (tidak perlu risau dengan ancaman Korea Utara), dan juga baik untuk China (tidak perlu risau dengan THAAD).
Namun China gagal mencapai harapan Korea Selatan. Selepas Korea Utara berjaya menguji bom hidrogen (jenis bom nuklear yang paling dahsyat) pada Januari 2016, Presiden Park mengumumkan bahawa Korea Selatan akan membeli THAAD dari Amerika. Semenjak itu kerajaan China menyeru rakyatnya untuk memboikot barangan Korea Selatan untuk melepaskan kemarahan, dan juga untuk menundukkan Korea Selatan supaya ia mengubah fikiran. 25% (1 per 4) dari jumlah eksport Korea Selatan adalah ke China. Jangan kata Korea Selatan tidak rasa sakitnya.
Yang paling menerima kesan ialah industri muzik popular Korea Selatan, atau ‘K-Pop’.
Selain Amerika dan Britain, Jepun dan Korea Selatan adalah contoh negara yang paling berjaya dalam membina jenama muzik popular tersendiri. Jangan memandang remeh terhadap benda-benda macam ini. Budaya popular adalah sebahagian daripada ‘kuasa lunak’ (soft power) yang disebut dalam kajian hubungan antarabangsa. Amerika dapat menguasai dunia bukan saja melalui kuasa tentera dan ekonomi, tetapi juga melalui pengaruh Hollywood dan muzik popular. Korea Selatan dan Jepun yang sentiasa bersaing turut menjadikan budaya popular sebagai satu medan pertarungan untuk meningkatkan pengaruh masing-masing.
Sejarah industri muzik popular Jepun (‘J-Pop’) lebih lama dan pernah mencapai zaman kegemilangan pada 1990-an. Generasi yang lama sikit (macam saya ini) mesti biasa dengan fenomena J-Pop yang turut melanda Malaysia ketika itu. Sebelum adanya Big Bang, Girls’ Generation, 4 Minutes, BTS dan TWICE, yang menjadi kegilaan remaja ialah SMAP, Morning Musume, Ayumi Hamasaki, Utada Hikaru dan Namie Amuro. Yang disiarkan di TV ialah drama Jepun seperti ‘Great Teacher Onizuka’ dan ‘Long Vacation’, bukan drama Korea memanjang seperti sekarang. Lambang bagi ‘lelaki idaman’ ketika itu ialah Takuya Kimura dan Takenouchi Yutaka, bukan Lee Min-ho dan Song Joong-ki.
Namun disebabkan adanya sokongan pasaran China, K-Pop berjaya mengatasi J-Pop pada 2000-an. Sentimen anti-Jepun menyebabkan J-Pop tidak dapat menembusi pasaran China, maka K-Pop dapat memonopolinya. Hasil jualan yang dijana di pasaran China dilaburkan semula untuk melatih artis baru, membuat industri J-Pop tidak dapat mengejar langkah K-Pop. Artis K-Pop juga menerokai pasaran Jepun. Artis seperti KARA tekun belajar Bahasa Jepun, membuat album dalam Bahasa Jepun dan berjaya mendapat sambutan di Jepun. Tetapi tidak di sebaliknya: lagu Jepun adalah haram di Korea Selatan. Pasaran domestik Jepun adalah terhad kerana masalah kemelesetan ekonomi. Maka J-Pop jatuh dari puncak kejayaan. Pada tahun 1997, hasil jualan J-Pop adalah sebanyak 588 bilion yen, pada tahun 2010 ia merosot kepada 284 bilion yen.
China merupakan pasaran terbesar K-Pop. 40% dari hasil jualan eksport budaya Korea Selatan (termasuk filem dan drama) adalah daripada China. Selepas peristiwa THAAD, konsert artis K-Pop di China dibatalkan semuanya. Artis K-Pop tidak dibenarkan muncul dalam rancangan TV China. Video muzik K-Pop diblok di internet. Antara banyak-banyak artis, EXO yang paling kesian. EXO ditubuhkan sebagai tanda persahabatan Korea Selatan dan China. Semasa awal pertubuhan, 4 dari 12 ahlinya adalah warga China, dan ada sub-kumpulan EXO-M yang menyanyi dalam Bahasa Mandarin khas untuk peminat di China. Tetapi selepas peristiwa THAAD, semua konsert EXO yang dijadualkan di China dibatalkan.
K-Pop rugi, J-Pop bertepuk tangan. Walaupun kerajaan Jepun bersungguh-sungguh cuba memperkasakan semula J-Pop, misalnya melalui dasar ‘Cool Japan’ (2010) yang merangkumi pemberian dana kepada industri J-Pop, J-Pop masih tidak dapat menyaingi industri K-Pop. Sekatan China kali ini merupakan tamparan besar buat K-Pop dan mungkin memberi peluang kepada J-Pop untuk kembali menjadi pesaing setaraf K-Pop dalam pasaran di luar China.
Sekatan China ini pun mungkin ada hikmah yang tersembunyi bagi K-Pop jua. K-Pop dahulu tak sama dengan K-Pop hari ini. K-Pop dulu ada nilai estetika yang tinggi. Dalam karya artis seperti Shinhwa, Fly To The Sky dan TVXQ boleh ditemui gaya sentimentaliti K-Pop yang unik. K-Pop hari ini menjadi semakin mengarut, ‘superficial’ dan mementingkan sensualiti, semata-mata untuk memenuhi cita rasa China yang rendah. Mungkin, tanpa tekanan untuk memenuhi kehendak pasaran China, K-Pop dapat kembali ke fitrah asalnya.
Sementara orang China tidak dapat menikmati K-Pop, pasti mereka merasa kekosongan. Mungkin inilah peluang bagi kita menawan pasaran China melalui ‘M-Pop’ (‘Malaysia-Pop’). Shila Amzah sudah buka jalan, boleh disusuli dengan Aiman Tino.
Post a Comment