Showing posts with label Ilmiah. Show all posts

Bolehkah Orang Kafir Terselamat Dari Neraka?
GAMBAR HIASAN



Orang Bukan Islam Boleh Terselamat Dari Siksa Neraka? | Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.

Tapi, sekiranya kita ada sahabat atau mungkin juga keluarga yang kita sayangi bukan beragama islam, pasti timbul rasa sayang dan persoalan, bolehkah mereka terselamat dari siksaan neraka? Menerusi drmaza.com, kami kongsikan kepada anda ulasan ilmiah beliau.

Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.


Berbudi Baik

Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.

Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.

Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: “Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.

Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.

Halangan Hidayah

Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.

Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:

“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).

Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.

Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.

Bolehkah Selamat?

Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.

Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.

Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.

Selamat Dari Azab

Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)

“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).

Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:

“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)

“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Nisa: 165).

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.

Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:

“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?

5 Petanda 100 Hari Menjelang Kematian | Ini adalah tanda pertama dari ALLAH SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang islam akan mendapat tanda ini hanya saja mereka menyadari atau tidak.

Ini yang Bakal Berlaku 100 Hari Sebelum Anda Mati

1. Tanda 100 hari sebelum kematian

Tanda ini akan terjadi selepas waktu asar, seluruh tubuh dari hujung rambut hingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil, contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti, kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya nikmat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik dihati bahawa mungkin ini adalah tanda mati, maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesaderan atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu saja tanpa sembarang manfaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini, maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

2. Tanda 40 hari sebelum kematian

Tanda ini juga akan terjadi selepas waktu asar, bagian pusar kita akan berdenyut-denyut saat daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pohon yang letaknya di atas arasy ALLAH SWT, maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mulai membuat persiapan atas kita, diantaranya ialah ia akan mulai mengikuti kita sepanjang waktu.

Akan terjadi malaikat maut ini memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

3. Tanda 7 hari sebelum kematian

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang sedang diuji dengan penyakit. Biasanya orang sakit tidak selera makan, namun tiba-tiba ia sangat berselera dan lahap untuk makan.

4. Tanda 3 hari sebelum kematian

Pada saat ini kita akan merasakan denyutan di bahagian tengah dahi iaitu di antara dahi kanan dan kiri, jika tanda ini dapat dirasakan dan dikenali maka berpuasalah agar perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan orang yang akan memandikan kita nanti.

Pada saat ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat diperhatikan jika kita melihatnya dari bahagian sisi.

Telinganya akan layu dimana pada bagian ujung telinga akan berangsur-ansur masuk ke dalam.

Telapak kakinya yang melonjor akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

5) Tanda 1 hari sebelum kematian

Akan terjadi sesudah asar dimana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu bagian ubun-ubun, hal ini pertanda kita tidak akan sempat untuk menemui waktu asar keesokan harinya.

Tanda akhir

Akan terjadi keadaan di mana kita akan merasakan sejuk dibahagian pusar dan rasa itu akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian tekak.

Pada saat ini hendaklah kita terus mengucap kalimah SYAHADAT dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada ALLAH SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Semoga tanda-tanda 100 hari menjelang kematian ini akan membuat kita senantiasa sedar bahawa sesungguhnya kita tidak akan hidup selamanya di dunia ini. Oleh kerana itu sudah sepantasnya kita mempersiapkan diri untuk kehidupan di akhirat yang kekal.

Pendedahan Lelaki yang Berimamkan Seorang Lelaki Bangladesh | Solat maghrib tadi, aku berimamkan seorang lelaki Bangladesh. Sebelum dia menjadi imam, aku perasan dia baru saja dimarahi oleh seorang lelaki Melayu.

Gaya lelaki itu seperti bos bos besar sebab beliau siap berpakaian kot. Kesalahan lelaki Bangladesh itu, dia terpijak kasut lelaki Melayu itu tanpa sengaja. 

Kisah Lelaki Solat Berimamkan Pekerja Bangla

Nak dijadikan cerita, semasa solat, dia baca surah Al-Hujurat. Pada mulanya, aku rasa biasa sahaja. Tetapi selepas balik ke rumah, aku buka Al-Quran dan kebetulan aku berhenti pada surah yang sama. Yang menjadikan aku malu bila membaca tafsir surah itu membawa maksud:

“Hai orang-orang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik.”
(QS. Al Hujurat: 11)

Semoga Allah merahmati lelaki Bangladesh itu tadi. – Syafiq Ridhwan

Lelaki Bangladesh yang selalu dipandang hina itulah yang selalu memenuhi ruang masjid. Tak kira apa bangsa sekali pun, semuanya sama saja di sisi Allah swt. Cuma yang membezakan amal ibadah saja. Bangladesh pun ada hati, jangan dipandang hina pada orang luar yang duduk di Malaysia ini kerana mereka sanggup datang dari jauh mencari rezeki yang halal, sanggup tinggalkan keluarga di kampung sekadar mahu mengubah nasib menjadi lebih baik, mencari sesuap nasi untuk diberikan kepada keluarganya. Jangan angkuh dan sombong, takut Allah swt tarikh nikmat itu.

Penemuan di dalam Bible berusia 1500 tahun yang amat merisaukan Paderi Vatican | Sekumpulan Paderi Vatican yang menemui Bible berusia 1500 tahun telah mengkaji satu persatu isi kandungan Bible itu. Namun, apa yang mereka temui sangat mengejutkan.

Apakah kandungan yang sangat membimbangkan Paderi Vatican yang tertulis pada Bible berusia 1500 tahun itu? Menerusi zainurrashid.com, kami kongsikan kepada anda keajaibannya.

Kenapa Paderi Vatican bimbang dengan isi kandungan Bible berusia 1500 tahun?

Injil ini meramalkan kedatangan Muhammad.

Sebuah kitab lama yang dikatakan sebagai ‘Gospel of Barnabas’ ini mengandungi ramalan bahawa Ahmad (Nabi Muhammad) bakal muncul di akhir zaman telah mencetuskan minat daripada Vatican, pusat agama Kristian bermazhab Katholik untuk menelitinya dengan lebih mendalam.

Pope Benedict XVI sendiri telah menyatakan hasrat beliau untuk melihat isi kandungan Injil yang dikenali sebagai ‘Gospel of Barnabas’ itu.

Injil yang bertinta emas dan menggunakan medium bahasa ibunda Nabi Isa as, bahasa Aramaic dianggarkan berusia lebih daripada 1,500 tahun.

Injil berkenaan telah dijumpai sejak 12 tahun yang lalu (2000) di Turki dan kemudian disimpan daripada tatapan orang awam atas permintaan kuat dari pihak gereja kerana dibimbangi ada persamaan terhadap pernyataan al-Quran bahawa Nabi Isa a.s sendiri sudah pun memberitahu tentang kedatangan Ahmad (Muhammad saw).

Namun begitu pada tahun 2010, Injil berkenaan telah diserahkan kepada Ankara Ethnography Museum dan kemudiannya diberikan kebenaran untuk dipamerkan setelah melalui beberapa usaha pemulihan.

Isi kandungan Injil berkenaan selari dengan akidah Islam yang menyatakan bahawa Nabi Isa as adalah seorang Rasul (pesuruh Allah swt) dan bukan anak Tuhan sebagaimana yang dipercayai oleh penganut Kristian terutama yang bermazhab Katholik, Anglican dan Orthodox.

Kitab lama ini juga menyatakan bahawa Nabi Isa as tidak pernah disalib sehingga meninggal dunia. Bahkan baginda telah diangkat oleh Allah swt ke langit. Kenyataan ini ternyata amat bertentangan dengan ajaran Kristian yang berasaskan ajaran Saint Paul atau Saul of Tarsus.

Ramai cendikiawan dan ahli teologi Kristian yang telah menolak Injil berkenaan dan mendakwa ia adalah hasil kerja pada abad ke-5 atau ke-6 dan bukannya di abad pertama sepertimana yang didakwa oleh pengkaji-pengkaji Islam. Namun begitu, ramai pengkaji Islam mempercayai bahawa ia adalah Injil yang paling asli yang telah dijumpai setakat ini.

Harga salinan Injil ini dianggarkan bernilai sehingga 40 juta Lira Turki ( USD 22 juta).

Tidak sukar untuk kita memahami bahawa sudah pasti ada pihak tertentu yang sentiasa dipertikaikan jumpaan yang menggemparkan ini tetapi yang pasti ‘BENAR’ ialah firman Allah swt yang bermaksud,

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.”-(Surah al Baqarah ayat 146)

Wallahu’alam….

Kisah seorang pemuda yang kedua ibubapanya sepasang babi | Nabi Musa A.S adalah satu-satunya Nabi yang diizinkan berdialog langsung dengan Allah S.W.T. Setiap kali hendak bermunajat dan berdialog dengan Allah, Nabi Musa A.S naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia berdialog dengan Allah. Nabi Musa A.S sering bertanya dan Allah menjawab saat itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah S.W.T: “Ya Allah, siapakah orang di Syurga kelak yang akan menjadi sahabatku?” Allah S.W.T pun menjawab dengan memberitahu sebuah nama, nama kampungnya serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawaban, Nabi Musa A.S benar-benar penasaran dengan orang itu. Betapa istimewanya dia, tidak dikenal tetapi kelak setingkat dengan Nabi di Syurga. Siapakah dia dan apakah amal-amalnya? Nabi Musa A.S turun dari Bukit Tursina dan berjalan berhari-hari mencari orang itu ke tempat yang diberitahu Allah. Setelah beberapa hari dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa A.S pergi ke tempat yang dituju.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk setempat, Nabi Musa A.S berhasil bertemu dengan orang tersebut. Ia ternyata seorang pemuda. Setelah memberi salam, Nabi Musa A.S dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Anehnya, pemuda itu tidak melayaninya. Dia malah masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu dituntunnya dengan baik dan rasa hormat. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Lho, apa-apaan pemuda itu? Ia memelihara babi di rumahnya?” Kata Nabi Musa tersentak kaget dalam hatinya penuh keheranan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu, babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantarkan kembali ke dalam kamar. Tidak lama kemudian dia keluar lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dituntun diantar kembali lagi ke dalam ke kamar yang sama.

Kisah Lelaki yang Memiliki Ibubapa Sepasang Babi

Setelah selesai barulah dia melayani Nabi Musa AS. Musa bertanya heran:“Wahai anak muda! Apa agamamu sampai berbuat seperti itu kepada babi?”

“Agamaku agama Tauhid. Aku beriman kepada Allah.” Jawab pemuda itu.

“Tapi, mengapa kamu mengurus babi bahkan sampai seperti itu? Kita tidak boleh begitu terhadap babi.” Kata Nabi Musa A.S.

“Wahai Tuan,” kata pemuda itu, “sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapaku.Kerana mereka melakukan dosa besar, Allah telah mengazab mereka dengan mengganti wujudnya menjadi babi. Soal dosanya itu, biarlah itu urusannya dengan Allah. Sebagai anaknya, aku tetap melaksanakan kewajibanku mengurus mereka. Hari demi hari, aku berbakti kepada kedua ibu bapakku seperti yang tuan lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku sebagai anak. Sebagai anak, aku harus begitu kepada orang tuaku. Begitulah ceritanya!” kata pemuda itu.

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampuni. Aku memohon supaya Allah menukarkan wajah mereka kembali menjadi manusia yang sebenarnya, tetapi Allah masih belum mengabulkan hajatku.” Tambah pemuda itu lirih, sedih dan pilu.

Setelah selesai pemuda itu bercerita, ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa AS. “Wahai Musa, inilah orang yang akan menjadi sahabatmu di surga nanti sebagai buah dari baktinya yang sangat tinggi kepada kedua orang tuanya. Ibu bapaknya yang sudah buruk rupa menjadi babi pun, dia tetap berbakti. Oleh karena itu, Kami naikkan maqamnya ke derajat yang tinggi di sisi Kami.” Kata Allah S.W.T.

Allah meneruskan lagi memberi kabar: “Kerana dia telah berada di maqam yang tinggi sebagai anak yang shaleh disisi-Ku, kini Aku kabulkan do’nya. Tempat kedua ibu bapaknya yang tadinya Aku sediakan di dalam neraka, kini telah Kupindahkan ke dalam Syurga.” *Allahu Akbar!

Hikmah:

Subhanallah… hormat dan bakti anak yang shaleh serta do’anya dapat menebus dosa ibu bapaknya yang harusnya masuk ke dalam neraka dipindahkan oleh Allah ke dalam surga. Rasulullah SAW pun bersabda mengingatkan kepada kita: “Ketika meninggal dunia, semua pahala anak Adam terputus kecuali tiga hal: amal jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak shaleh yang mendo’akan orang tuanya.” Walaupun banyak sekali dosa yang mereka lakukan, kita tidak boleh memusuhi, menjauhi, melupakan dan menelantarkannya. Kewajiban kita sebagai anak adalah berbakti dengan tulus dan ikhlas serta mendo’akannya mudah-mudahan Allah S.W.T mengampuninya. Kisah di atas, semoga menjadi pelajaran dan teladan buat kita.
Powered by Blogger.